Belanjawan 2026: Anwar Tegaskan Kecekapan Fiskal, Perbelanjaan Naik Ke RM470 Bilion

PARLIMEN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pentadbiran MADANI akan memberi tumpuan kepada membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan dan memperkukuh institusi negara dalam usaha menaikkan “siling ekonomi” serta “lantai hidup rakyat”.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat petang ini, dengan tema yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebertanggungjawaban fiskal.

“Pentadbiran MADANI harus membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan, dan memperkukuh institusi negara dalam usaha menaikkan siling ekonomi dan lantai hidup rakyat,” katanya ketika membuka pembentangan.

Menurut Anwar, Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi separuh pertama tahun 2025 mencatat pertumbuhan 4.4 peratus, didorong permintaan domestik dan pelaburan awam yang kukuh.

Walaupun Malaysia berdepan kesan perang tarif Amerika Syarikat, unjuran semula KDNK 2025 di antara 4.0 hingga 4.8 peratus menunjukkan ekonomi negara kekal berdaya tahan.

Bagi tahun depan, KDNK 2026 diunjur berkembang pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus, mencerminkan cabaran global yang berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi yang masih berlarutan.

Kerajaan tetap berpegang kepada komitmen di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), namun meneruskan dasar fiskal mengembang bagi memastikan momentum pertumbuhan tidak terjejas.

Belanjawan 2026 memperuntukkan RM470 bilion dalam perbelanjaan awam meningkat berbanding RM452 bilion pada tahun lalu.

Peruntukan itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus, RM81 bilion belanja pembangunan, RM30 bilion pelaburan oleh GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta, dan RM10.8 bilion pelaburan oleh Badan Berkanun Persekutuan serta syarikat milik kerajaan (MKD).

Peningkatan perbelanjaan ini dijangka disokong melalui pengoptimuman dana daripada GLIC, Badan Berkanun dan syarikat MKD, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menyusun semula aliran fiskal negara agar lebih cekap dan berimpak tinggi.

Langkah ini juga sejajar dengan aspirasi pentadbiran MADANI untuk memperkukuh institusi awam, menutup ketirisan dan memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberi pulangan langsung kepada rakyat.

Anda Mungkin Berminat