Belanjawan 2026: Bahasa Melayu Terus Diperkasa Sebagai Teras Ilmu

PARLIMEN | Bahasa Melayu kekal sebagai nadi identiti bangsa dan wahana pemikiran kebangsaan, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Justeru, ia mesti terus dipupuk dalam jiwa setiap rakyat.

“Bahasa ini bukan sekadar alat komunikasi, tetapi menjadi bahasa ilmu, budaya dan perpaduan nasional yang mencerminkan tamadun bangsa,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Rakyat.

Selaras dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu utama di semua sekolah dan aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa.

Anwar turut menegur kecuaian pelaksanaan di 249 sekolah antarabangsa yang dilihat gagal mematuhi keperluan mengajar Bahasa Melayu dan subjek kenegaraan kepada pelajar warganegara Malaysia.

Kerajaan turut mengumumkan penghidupan semula Hadiah Bahasa sebagai simbol tekad Malaysia MADANI memperkasa warisan Bahasa Melayu yang bukan sekadar warisan linguistik tetapi sebagai lambang maruah dan keunggulan tamadun bangsa.

Dalam masa sama, kerajaan turut menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris tidak akan dipinggirkan.

Ia akan diperkukuh sejak di peringkat rendah bagi melahirkan generasi Malaysia yang berdaya saing di peringkat global tanpa mengorbankan jati diri kebangsaan.

Pendekatan ini menegaskan keseimbangan antara pembinaan identiti nasional melalui Bahasa Melayu dan penguasaan bahasa antarabangsa untuk kemajuan negara dalam era globalisasi.

Anda Mungkin Berminat