PARLIMEN | Bertepatan dengan tema Belanjawan Rakyat, kerajaan MADANI dalam usaha memastikan tiada pelajar tercicir akibat kekangan kewangan, mengumumkan peluasan Bantuan Am Persekolahan kepada murid miskin sehingga Tingkatan 5, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada pelajar sehingga Tingkatan 3.
Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM180 juta bagi tahun hadapan, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, semua 5.2 juta murid sekolah kerajaan akan menerima Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM800 juta.
Bantuan ini bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa menjelang permulaan sesi persekolahan.
Menariknya, bermula tahun 2026, kaedah penyaluran bantuan akan dibuat terus di sekolah melalui guru kepada ibu bapa, bukan lagi secara automatik ke akaun penerima.
Pendekatan baharu ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara guru dan ibu bapa serta membina kerjasama yang lebih erat dalam memastikan perkembangan pendidikan anak-anak.
Langkah ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada strategi Kerajaan MADANI memperkukuh kesejahteraan pendidikan, di mana setiap murid tanpa mengira latar belakang ekonomi, berpeluang memperoleh akses pendidikan yang saksama dan berkualiti.
Dengan penambahan bantuan ini, kerajaan menegaskan komitmennya untuk memastikan tiada anak Malaysia tertinggal dalam sistem pendidikan, sejajar dengan semangat inklusif dan keadilan sosial yang menjadi teras pentadbiran negara.