Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Belanjawan 2026 dijangka mengutamakan pengoptimuman perbelanjaan negara dengan memberi keutamaan kepada program yang mampu meningkatkan daya tahan ekonomi serta memperkukuh perlindungan sosial.
Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma berkata, pendekatan ini penting bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, menggalakkan pekerjaan dan mengekalkan permintaan domestik.
“Bajet ini bukan hanya penyata imbangan kewangan negara, tetapi jemputan kepada rakyat untuk bersama melakar semula masa depan negara yang lebih makmur, adil dan sejahtera,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau turut berharap Belanjawan 2026 mengambil kira keperluan mendesak rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan mekanisme subsidi yang lebih efisien.
Katanya, dalam masa sama, bajet ini perlu selari dengan agenda jangka panjang negara seperti pendigitalan, ekonomi hijau, keterangkuman sosial dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Tambah beliau, belanjawan yang bersifat menyeluruh dan seimbang amat penting dalam memastikan pertumbuhan inklusif dan mampan, terutama dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
“Ini masa untuk pastikan setiap ringgit dibelanjakan memberi impak maksimum kepada rakyat dan negara,” ujarnya lagi.
Belanjawan 2026 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini diharap mampu menjadi pemacu pembaharuan struktur ekonomi ke arah masa depan yang lebih mampan.
Baca juga:








