Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Dalam suasana rakyat menaruh harapan tinggi terhadap Belanjawan 2026, kerajaan berdepan tanggungjawab besar untuk menyeimbangkan dua perkara penting iaitu menjaga poket rakyat sambil memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Belanjawan kali ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi menjadi ujian kepada keupayaan kerajaan MADANI melaksanakan dasar yang berhemat tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Belanjawan 2026 dijangka meneruskan dasar pengembangan ekonomi yang inklusif, dengan memberi tumpuan kepada peningkatan hasil negara tanpa mengetepikan bantuan kepada rakyat.
“Kita akan lihat belanjawan yang kekal bersifat mengembang, tetapi dalam masa sama kerajaan akan berhati-hati mengawal fiskal supaya defisit terus berkurangan.
“Langkah itu sejajar dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan kemakmuran seimbang dan memastikan pertumbuhan ekonomi berlaku secara pesat namun tiada kelompok rakyat yang tertinggal.” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Katanya, fokus utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ialah memastikan kemakmuran negara tidak hanya dinikmati segelintir pihak, sebaliknya turut dirasai oleh rakyat di semua peringkat. Justeru, pengurusan fiskal dan dasar sosial perlu digerakkan secara seimbang bagi mencapai pertumbuhan yang inklusif.
Dr. Razman menambah, kerajaan dijangka mengekalkan pendekatan rasionalisasi subsidi secara berperingkat bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan sasaran, sekali gus mengelakkan ketirisan dan pembaziran.
“Rasionalisasi subsidi bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi supaya setiap sen perbelanjaan benar-benar sampai kepada mereka yang layak. Bila sistem ini lebih efisien, hasil penjimatan boleh dipulangkan semula dalam bentuk bantuan langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah atau peningkatan kemudahan asas.
“Pengurusan fiskal yang lebih berdisiplin turut membantu memperkukuh kepercayaan pelabur terhadap ekonomi Malaysia, selain memberi ruang kepada kerajaan menambah baik sistem penggajian dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Apabila ekonomi lebih stabil, gaji boleh ditingkatkan, peluang pekerjaan menjadi lebih kompetitif, dan rakyat boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan masih mempunyai ruang yang selesa untuk melaksanakan dasar ini secara berperingkat tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi semasa.
“Belanjawan 2026 ini hanya permulaan kepada lima tahun RMK13. Jadi kita akan lihat gabungan dasar jangka pendek dan panjang, bantuan segera untuk rakyat, serta pelaburan jangka panjang untuk pertumbuhan mampan.
“Matlamat akhirnya ialah membantu rakyat berdikari melalui pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik, sambil memastikan negara terus berada di landasan pertumbuhan mampan.” katanya.
Belanjawan 2026 dijangka dibentangkan pada 10 Oktober ini, dengan tumpuan terhadap usaha kerajaan untuk terus menyeimbangkan antara disiplin fiskal, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Baca juga:








