BALING: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan Belanjawan 2026 akan mengambil kira pandangan serta keperluan negeri bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap cadangan yang dikemukakan negeri akan diteliti sebelum disesuaikan dengan keutamaan kerajaan pusat.
“Dalam menentukan projek baharu tahun 2026, saya minta pandangan kedua-dua pihak diambil kira dan diselaraskan. Ada pandangan yang boleh diterima, ada juga yang perlu disesuaikan dengan keutamaan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Program Madani Rakyat (PMR) 2025 peringkat Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Program tiga hari itu memberi peluang rakyat, termasuk di luar bandar, mendapatkan akses terus kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.








