PARLIMEN | Dalam kesinambungan agenda reformasi institusi negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Peranan Parlimen akan terus diperkukuh sebagai medan semak dan imbang kepada dasar kerajaan, termasuk pelaksanaan reformasi undang-undang yang lebih menyeluruh.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa Parlimen Malaysia bakal menerima hampir RM220 juta, dengan tambahan RM5 juta khusus bagi memperkasakan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Ini bagi memastikan Parlimen benar-benar memainkan peranan sebagai institusi semak dan imbang kepada dasar-dasar kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini, rakyat di 143 kawasan parlimen telah menerima manfaat daripada program kelestarian komuniti yang dijalankan di bawah Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM).
Bagi tahun depan, kerajaan memperuntukkan RM15 juta untuk memperluas liputan program tersebut ke lebih banyak kawasan, menjadikan inisiatif itu antara contoh kejayaan kerjasama dwipartisan yang jarang dilihat dalam sejarah Parlimen Malaysia.
Dalam usaha memperkukuh kedaulatan undang-undang, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini berada di peringkat libat urus dengan semua pihak berkepentingan.
Langkah ini dianggap antara reformasi struktur terpenting dalam sistem perundangan negara bagi menjamin kebebasan pendakwaan daripada pengaruh eksekutif, satu tuntutan yang telah lama disuarakan oleh masyarakat sivil dan pakar undang-undang.
Anwar turut memaklumkan bahawa Pasukan Reformasi Undang-undang yang ditubuhkan kerajaan sedang meneliti pembaharuan menyeluruh ke atas undang-undang jenayah dan kontrak, termasuk cadangan menggubal dua undang-undang baharu, Rang Undang-Undang Bidang Kuasa Admiralti dan Rang Undang-Undang Koroner.
Inisiatif ini dilihat selari dengan komitmen kerajaan untuk menambah baik struktur keadilan dan memperkukuh ketelusan dalam sistem kehakiman negara.
Selain itu, selepas penggubalan Akta Kredit Pengguna, kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna bagi memasukkan elemen “Lemon Law”, iaitu peraturan baharu untuk melindungi hak pengguna yang sering tertindas akibat produk rosak atau tidak berkualiti.
Cadangan ini dijangka memberi kelegaan kepada pengguna, khususnya dalam sektor automotif dan barangan elektrik, yang sering berdepan kesukaran mendapat ganti rugi sewajarnya.
Baca juga: