Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Sektor pendidikan negara diharap menjadi tumpuan utama dalam Belanjawan 2026 dengan penekanan terhadap empat agenda kritikal iaitu pemerkasaan guru, pembangunan sekolah, kesejahteraan murid serta pembudayaan STEM dan Kecerdasan Buatan (AI).
Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anur Ahmad, menyuarakan harapan agar pembentangan belanjawan kali ini benar-benar menjiwai keperluan pendidikan negara dan bukan sekadar angka di atas kertas.
“Seluruh rakyat mengharapkan supaya bajet untuk pendidikan ni akan dipertingkatkan sesuai dengan keperluan pendidikan pada hari ini.
“Tentu saja ada beberapa perkara penting yang mesti diberikan perhatian di dalam peruntukan untuk sektor pendidikan ini, kalau boleh saya katakan ada empat perkara yang sangat penting dan mesti diberi perhatian oleh pihak kerajaan di dalam peruntukan ataupun dalam pembentangan bajet untuk tahun 2026 bagi sektor pendidikan,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Menurut beliau, pemerkasaan guru perlu menjadi keutamaan kerana mereka adalah tulang belakang sistem pendidikan negara.
“Guru menjadikan pendidikan lebih berkualiti, anak-anak kita mendapat peluang belajar dalam keadaan yang baik.
“Mereka (guru) yang menjamin tahap keupayaan murid dari segi membaca, mengira, penguasaan kemahiran berbahasa, pemerkasaan pengetahuan dalam pelbagai mata pelajaran.
“Semua ini sangat dipengaruhi oleh kualiti guru, jadi kita kena pastikan bahawa bajet pada tahun 2026 ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan guru,” katanya.
Dr Anur turut menggesa agar kerajaan memperuntukkan dana besar bagi memulih dan menaik taraf sekolah daif khususnya di kawasan luar bandar.
“Sekolah di Malaysia ini banyak yang telah dibina sejak 40 hingga 50 tahun lalu dan kita perlukan kos ataupun peruntukan yang besar untuk memastikan pembangunan sekolah dan kesejahteraan murid dapat dicapai dengan lebih baik,” ujarnya.
Beliau juga menekankan keperluan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah sebagai langkah proaktif memperkukuh keselamatan dan membendung masalah buli dalam kalangan pelajar.
Menyentuh soal kesejahteraan murid, Dr Anur mencadangkan agar peruntukan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ditambah termasuk untuk pelajar dari golongan B40 dan M40.
“Kumpulan miskin B40 dan juga kumpulan M40 yang mempunyai bilangan anak yang ramai misalnya mereka ini dapat diberikan RMT supaya mereka mendapat khasiat pemakanan yang lebih baik.
“Kita turut mengharapkan supaya peruntukan rancangan makanan tambahan rancangan susu sekolah ini dapat ditambah dari segi bilangan yang layak untuk menerima bantuan ini jadi itu mesti dilakukan dan kita juga mengharapkan supaya kerajaan menyediakan peruntukan untuk memastikan anak-anak kita berada di dalam keadaan yang sihat,” jelasnya.
Dalam konteks masa depan pendidikan, beliau menekankan bahawa pembudayaan STEM dan AI perlu menjadi kayu ukur arah tuju negara, bermula dari peringkat sekolah rendah.
“Kita jadi bimbang sekarang ini sebab bilangan murid-murid yang terlibat dalam sains dan matematik merosot, semakin lama semakin berkurang, jadi peruntukan khas mesti disediakan oleh kerajaan.
“Supaya kita dapat meningkatkan bilangan murid-murid yang berminat untuk masuk ke dalam bidang sains dan matematik dan ini bermula daripada sekolah rendah, jadi pembudayaan STEM itu mesti bermula di sekolah rendah.
“Pembudayaan STEM itu memerlukan peruntukan khas supaya anak-anak kita ini terlibat dengan program-program yang mendedahkan mereka dengan keseronokan dan juga menarik minat mereka untuk terlibat di dalam STEM,” katanya.
Beliau turut menggesa agar kerajaan menyuntik dana khas bagi memperkukuh pendidikan berasaskan AI, memandangkan kebanyakan sekolah masih belum bersedia sepenuhnya untuk mengaplikasikan elemen tersebut dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Kita juga mengharapkan disediakan peruntukan khas supaya pendedahan AI ini dapat kita berikan kepada murid-murid kita di sekolah serta dapat menyediakan latihan kepada guru-guru berkaitan dengan AI.
“Para guru memerlukan bahan-bahan pembelajaran bahan-bahan model-model yang boleh kita tunjukkan kepada murid-murid kita berkaitan dengan AI kita perlukan komputer, perlukan internet yang laju di sekolah ini semua memerlukan peruntukan khas lah supaya anak-anak kita ni akan didedahkan kepada AI dengan cara yang paling baik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Belanjawan 2026 perlu menyediakan peruntukan khas yang menyeluruh agar generasi masa depan benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pendidikan berteraskan STEM dan AI.
Untuk info, Belanjawan 2026 akan dibentangkan sepenuhnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober ini di Dewan Rakyat.