PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif baharu di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi memastikan pendidikan tinggi terus menjadi pemangkin mobiliti sosial rakyat.
“Mulai tahun 2026, kerajaan akan memperkenalkan Pendidikan Percuma PTPTN kepada 5,800 anak daripada keluarga miskin yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” jelas Anwar.
Langkah ini melibatkan peruntukan RM120 juta setahun, sekali gus memperkukuh hasrat untuk membasmi kemiskinan melalui pendidikan.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua graduan yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA, khusus bagi mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah.
Inisiatif ini dijangka memanfaatkan kira-kira 6,000 peminjam dengan implikasi kewangan sebanyak RM90 juta setahun.
Dalam masa sama, kerajaan akan memperkenalkan langkah penguatkuasaan lebih tegas dengan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang berkemampuan dan bekerja di luar negara tetapi gagal melunaskan bayaran balik.
Langkah-langkah ini menggambarkan iltizam Kerajaan MADANI untuk menjadikan pendidikan sebagai alat pembebasan sosial, di mana tiada anak bangsa yang dinafikan peluang menuntut ilmu hanya kerana kekangan kewangan.