Belanjawan 2026: Penjawat Awam Terima Bantuan Khas RM500, Guru KAFA Turut Dihargai

PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, yang akan disalurkan pada awal Mac 2026 sempena sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata, bantuan itu mengambil kira peningkatan gaji penjawat awam tahun 2026 yang melibatkan penambahan sebanyak RM18 bilion, serta pelaksanaan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara bulanan.

“Dengan mengambil kira peningkatan gaji yang melibatkan penambahan 18 bilion ringgit, disusuli pemberian STR dan SARA bulanan, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen turut akan menerima bantuan khas sebanyak RM250 pada tarikh yang sama.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut mengumumkan sumbangan khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta.

Anwar berkata, pemberian itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan semua lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, pesara dan petugas agama yang memainkan peranan penting dalam mendidik serta membimbing rakyat.

“Bantuan ini bukan sekadar saguhati, tetapi tanda penghargaan kerajaan kepada jasa mereka yang terus berkhidmat untuk rakyat dan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat