PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa subsidi adalah hak rakyat Malaysia dan bukan untuk warga asing atau syarikat besar.
Beliau berkata, langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan telah berjaya menjimatkan dana negara sebanyak RM15.5 bilion setahun.
“Semua pimpinan kerajaan sebelum ini mengakui keperluan melaksanakan penyasaran subsidi.
“Namun, ia tertangguh kerana tiada tekad politik yang jitu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menyasarkan subsidi supaya dana awam sampai kepada rakyat.
Menurutnya, langkah penyasaran subsidi itu melibatkan pelbagai sektor utama yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Katanya, pengapungan harga ayam dan telur masing-masing telah menjimatkan RM1 bilion, sambil memastikan harga kekal terkawal.
“Penstrukturan tarif elektrik pula menyumbang penjimatan sebanyak RM6 bilion dengan 85 peratus pengguna tidak dikenakan sebarang kenaikan tarif dan sebahagian daripada mereka menikmati penurunan bil.
“Subsidi diesel yang disasarkan semula menjimatkan RM5 bilion, namun sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik tertentu terus menerima harga subsidi,” katanya.
Tambah Anwar lagi, bagi pemilik individu, petani dan pekebun kecil, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan turut diberikan sebagai sokongan tambahan.
Manakala katanya, dalam sektor bahan api, subsidi RON95 melalui program BUDI95 berpotensi menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion.
Lebih 10 juta rakyat kini menikmati harga minyak pada kadar RM1.99 seliter.
Pangkalan data melibatkan 16.5 juta warganegara sedang dikemas kini bagi memperluas manfaat kepada 23,000 pemilik perahu berdaftar dan lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penjimatan ini bukan sekadar angka tetapi membawa makna besar kepada rakyat.
“Setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan, lebih banyak peruntukan untuk kos sara hidup, dan lebih banyak pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti,” katanya.








