Belanjawan 2026 Perkasa Nelayan, Angkat Masa Depan Anak Muda

PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil menyifatkan Belanjawan 2026 bukti kejayaan kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal tanpa menekan rakyat atau mengurangkan bantuan kepada isi rumah.

Menurutnya, kerajaan mengekalkan kadar subsidi diesel RM1.65 seliter kepada nelayan selain meneruskan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan serta insentif hasil tangkapan bernilai RM160 juta.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM500 juta untuk membaik pulih rumah daif termasuk 380 rumah nelayan. Ini bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi usaha meningkatkan maruah dan taraf hidup komuniti nelayan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Faiz menegaskan, dasar kerajaan Madani jelas tidak meminggirkan negeri pembangkang seperti Kelantan dan Terengganu yang turut menerima manfaat daripada peruntukan sektor perikanan tersebut.

Beliau turut memuji langkah memperluas galakan cukai automasi kepada sektor akuakultur dan perikanan laut dalam, yang disifatkannya sebagai usaha ke arah menjadikan sektor perikanan lebih moden dan berdaya saing.

“Selain itu, RM20 juta disediakan bagi membantu nelayan menaik taraf vesel dan menggantikan kaedah pukat tunda kepada pendekatan lebih lestari,” katanya lagi sambil menegaskan langkah itu penting bagi menjamin keterjaminan makanan negara.

Dalam masa sama, Faiz menyambut baik tumpuan kerajaan terhadap anak muda melalui pelbagai inisiatif seperti program K-Youth bernilai RM200 juta, serta RM4.4 bilion biasiswa dan pinjaman pendidikan untuk pelajar berpendapatan rendah.

“Belanjawan kali ini membuktikan kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat boleh dicapai serentak tanpa menjejaskan mana-mana pihak. Ia satu belanjawan yang inklusif dan berjiwa rakyat,” katanya.

Belanjawan 2026 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Jumaat lalu turut menekankan keseimbangan fiskal, kebajikan rakyat dan pemerkasaan sektor nelayan serta anak muda.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat