Belanjawan 2026 Perkukuh Ekosistem Digital Negara, MCMC Komited Laksana Inisiatif Strategik

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi penekanan khusus kepada pengukuhan sektor komunikasi dan multimedia negara.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, MCMC menyatakan komitmen penuh untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang.

“Di bawah Belanjawan 2026, MCMC komited memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara serta memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang di seluruh Malaysia,” katanya.

Antara inisiatif utama yang bakal digerakkan termasuk pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM2 bilion.

Ia merupakan langkah penting bagi memperkukuh kesalinghubungan serta meningkatkan kelajuan dan kestabilan capaian internet di seluruh negara.

Projek mega Liputan Jendela Fasa 2 turut menerima suntikan RM780 juta, melibatkan perluasan jalur lebar ke 2,700 lokasi baharu khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman agar tiada rakyat tercicir dalam arus pendigitalan.

Dalam sektor kesihatan, sebanyak RM650 juta diperuntukkan untuk memperkasa ketersambungan Internet di fasiliti kesihatan awam termasuk hospital dan klinik bagi mempertingkat kecekapan sistem perkhidmatan kesihatan negara.

Kerajaan juga memperuntukkan RM350 juta untuk menaik taraf Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), melibatkan 1,099 pusat komuniti yang akan dijadikan hab latihan digital dan keusahawanan

“Sistem Amaran Awal (EWS) bernilai RM210 juta turut akan membangunkan sistem amaran awal bencana bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dan melindungi rakyat,” kata MCMC.

Dalam usaha memperkukuh kedaulatan data negara, MCMC akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan RM2 bilion.

Inisiatif ini turut merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).

MCMC turut menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G yang disasarkan mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026 yang merupakan satu langkah yang dijangka menyediakan perkhidmatan internet lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan.

“Langkah ini dijangka menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan,” tambahnya.

Dalam aspek keselamatan siber, MCMC akan memperluas ‘Kempen Internet Selamat’ bagi meningkatkan kesedaran penggunaan internet secara beretika dan selamat kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Keseluruhannya, inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen MCMC untuk memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi dan memastikan rakyat di seluruh negara menikmati manfaat pembangunan secara saksama,” katanya.

Anda Mungkin Berminat