PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut penuh komitmen Kerajaan MADANI dalam Belanjawan 2026 yang memperlihatkan keutamaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara.
Dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM18.6 bilion, iaitu peningkatan 2.76 peratus berbanding tahun sebelumnya.
KPT yakin langkah ini akan memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan masa depan.
“Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkasa TVET
“Memperkukuh penyelidikan, pembangunan dan inovasi, memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti serta kebajikan pelajar,” menurut kenyataan media KPT pada Sabtu.
Daripada jumlah tersebut, RM14.68 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus, manakala RM3.91 bilion bagi belanja pembangunan.
KPT turut menegaskan bahawa kementerian akan terus memacu kecemerlangan pendidikan tinggi melalui pelbagai inisiatif, sama ada secara langsung atau tidak berkait dengan Belanjawan 2026.
Antara inisiatif utama yang bakal dilaksanakan termasuk Ikhtiar Dapur MADANI, MySiswa Job On Campus serta penyelenggaraan prasarana bernilai RM446 juta.
Dalam usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerajaan memperuntukkan RM7.9 bilion termasuk RM45 juta kepada Majlis TVET Negara untuk melatih 10,000 pelajar tahfiz dan pondok dalam bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) melalui Program IPT di Komuniti.
Kemudahan institusi TVET juga akan dipertingkat, antaranya pembinaan Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menyokong pembangunan ekonomi biru.
Bagi menangani krisis penginapan mahasiswa, kerjasama strategik antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Universiti Malaya (UM) akan dirintis untuk membina 1,000 unit residensi baharu.
Kerajaan turut menambah 1,500 tempat baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kritikal seperti undang-undang, perakaunan, ekonomi, kewangan Islam, AI dan bahasa.
Ia membuka lebih banyak ruang kepada anak muda cemerlang termasuk lulusan STPM untuk melanjutkan pengajian di lima Universiti Penyelidikan.
Dalam bidang perubatan, dua projek kerjasama awam-swasta akan dilaksanakan iaitu Pembangunan Teknopolis Kesihatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya Health Metropolis.
Bidang aeronautik turut menerima perhatian dengan peruntukan RM16 juta kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk membangunkan ‘Air Space Sandbox’ pertama negara serta pembinaan lapangan terbang latihan penerbangan maritim oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi melahirkan juruterbang amfibia tempatan.
Salah satu pengumuman yang paling menyentuh hati rakyat ialah insentif pendidikan percuma PTPTN kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin dengan peruntukan RM120 juta setahun.
Tambahan pula, 6,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga B40 dan M40 akan diberi pengecualian bayaran balik pinjaman.
“Malah kerajaan turut memberi pengecualian bayaran balik kepada 6,000 graduan ljazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga B40 dan M40.
“Manakala peminjam berkemampuan yang culas membayar balik pinjaman akan disekat perjalanan ke luar negara,” jelas kenyataan itu.
KPT turut menyambut baik suntikan RM6 bilion kepada MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM yang akan membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada golongan Bumiputera.
Dalam usaha menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan, kerajaan memperkenalkan langkah membenarkan pensyarah universiti awam mengambil cuti sabatikal setahun serta menyalurkan RM10 juta melalui penubuhan Dana Nasional Syarikat Terbitan.
Bagi menangani isu kesesakan di hospital awam, kerajaan memperuntukkan RM140 juta untuk menyumber luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta.
Ini termasuk pembangunan Advanced Surgical Block di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian, Kelantan.
KPT berkata, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan semua Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti serta institusi swasta bagi memastikan setiap sen peruntukan dimanfaatkan secara berhemah dan memberi impak langsung kepada pembangunan modal insan negara.