Belanjawan 2026 Perkukuh Syiar Islam, Tanda Komitmen Kerajaan MADANI – Menteri Agama

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat bukan sekadar dokumen fiskal tetapi manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pentadbiran hal ehwal Islam dan memperkasa syiar Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion bagi pengurusan hal ehwal Islam sebagai peningkatan signifikan.

Beliau berkata, peruntukan naik 30 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan ummah.

“Belanjawan ini mencerminkan tanggungjawab fiskal yang berhemat dan keprihatinan rakyat, melindungi rakyat daripada cabaran global sambil melabur untuk masa depan Malaysia yang lebih mampan, berdaya tahan dan makmur,” katanya.

Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk RM150 juta untuk penyelenggaraan institusi agama seperti sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat, agar terus berfungsi sebagai pusat pembangunan ilmu Madani.

Seramai 720 pelajar tahfiz juga bakal menerima manfaat latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA.

“Satu langkah tepat untuk memartabatkan pendidikan tahfiz,” katanya.

Dalam usaha merancakkan ekosistem halal negara, kerajaan turut memperuntukkan RM124 juta bagi projek pembangunan Industri Halal Perak.

Peranan institusi masjid juga diperkukuh melalui program Anugerah Masjid Malaysia dan Konvensyen Masjid yang menghimpunkan para ulama’, umara’, sarjana Islam dan teknokrat.

“Belanjawan MADANI turut komited memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat komuniti melalui program Anugerah Masjid Malaysia dan Konvensyen Masjid yang menghimpunkan para ulama’, umara’, sarjana Islam bersama teknokrat.

“Selain itu, program-program keilmuan seperti Majlis Sama’ Hadis 2026 akan terus dianjurkan untuk mengimarahkan ummah Madani,” ujarnya.

Lebih menyentuh hati, kerajaan turut menghargai jasa lebih 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir dengan pemberian sumbangan khas RM500 sebagai tanda pengiktirafan terhadap golongan Murabbi Ummah.

“Saya mewakili Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2026 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2025 untuk syiar Islam,” katanya.

Anda Mungkin Berminat