Belanjawan 2026: RM2.4 Bilion Lindungi Peneroka, Pekebun Kecil

PARLIMEN | Kerajaan MADANI menegaskan komitmen memperkukuh sektor perladangan dan agrikomoditi yang menjadi nadi ekonomi luar bandar dengan peruntukan hampir RM2.4 bilion bagi melindungi lebih 720,000 peneroka dan pekebun kecil di bawah FELDA, RISDA dan FELCRA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor agrikomoditi terus menyumbang kukuh kepada ekonomi negara dengan hampir RM90 bilion kepada KDNK dan lebih 12 peratus daripada jumlah eksport tahun lalu dengan industri sawit kekal mendominasi pasaran dunia.

“Pengambilalihan semula FGV oleh FELDA membuktikan iltizam kerajaan untuk mengembalikan martabat peneroka.

“FELDA mesti kembali menjadi lambang kejayaan luar bandar dan penggerak kekayaan rakyat,” katanya.

Kerajaan turut memperuntukkan RM63 juta bagi memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit, termasuk menggalakkan pensijilan mampan oleh pekebun kecil dan menembusi pasaran baharu seperti China dan India.

Dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, RM20 juta disalurkan bagi menyokong syarikat pemula (start-up) tempatan membangunkan teknologi mekanisasi dan automasi sawit melalui kerjasama MPOB dan syarikat utama industri.

Kerajaan juga memperuntukkan RM120 juta bagi membela nasib pekebun kecil seluruh negara termasuk bantuan tanaman semula sawit tua, pengaktifan semula ladang getah persendirian terbiar, pembekalan 1.1 juta anak benih koko berkualiti serta bantuan kos input untuk pekebun kecil lada dan kenaf.

Selain itu, RM50 juta disediakan untuk membangunkan dan menyelenggara jalan-jalan ladang, memastikan akses logistik pertanian yang lebih baik bagi komuniti luar bandar.

Anda Mungkin Berminat