PARLIMEN | Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM45 juta kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh keselamatan sempadan negara dengan keutamaan pengambilan tenaga kerja diberikan kepada veteran tentera yang berpengalaman dan berdisiplin tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilihat sebagai strategi dua hala yang bukan sahaja mempertingkatkan kesiapsiagaan sempadan tetapi juga memberi peluang kepada bekas anggota tentera untuk terus menyumbang kepada negara dalam peranan yang kritikal.
“Sejumlah 45 juta ringgit disediakan untuk AKPS terus melindungi sempadan negara.
“Untuk memenuhi keperluan 220 tenaga kerja AKPS, keutamaan diberikan untuk melantik daripada kalangan veteran tentera bagi kesiapsiagaan penuh,” katanya.
Menurut Anwar, peruntukan itu akan digunakan untuk memperkukuh infrastruktur pemantauan, memperluas latihan taktikal dan mempercepat pembangunan teknologi sempadan yang lebih moden.
“Ia juga bertujuan memastikan AKPS mampu bertindak pantas dan berkesan dalam menghadapi ancaman penyeludupan, pemerdagangan manusia dan pencerobohan rentas sempadan,” katanya.
Sejak ditubuhkan, AKPS telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan menghalang lebih 10,000 warga asing daripada memasuki negara secara tidak sah serta menyita pelbagai barangan yang cuba dibawa masuk secara haram.
Kejayaan itu katanya, membuktikan keperluan untuk memperkukuh lagi agensi tersebut dengan sokongan dana dan sumber manusia yang tepat.