Belanjawan 2026: RM50 Bilion Perkasa Usahawan Tempatan

PARLIMEN | Belanjawan MADANI 2026 memberi tumpuan besar kepada pemerkasaan usahawan tempatan melalui kemudahan pembiayaan, jaminan kerajaan serta pelbagai sokongan pendigitalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak penubuhan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), lebih RM100 bilion pinjaman perniagaan telah dijamin kerajaan dan memberi manfaat kepada 84,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Permintaan yang meningkat, katanya, mencerminkan kejayaan SJPP membantu peniaga tempatan termasuk usahawan Cina dan komuniti pelbagai kaum.

Untuk tahun ini sahaja, Bank Simpanan Nasional (BSN) meluluskan hampir RM250 juta pinjaman mikro, membantu lebih 7,200 usahawan termasuk Bumiputera, Cina, India, wanita, anak muda dan peniaga kecil di Sabah serta Sarawak.

Bagi tahun hadapan, jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan akan meningkat kepada RM50 bilion, berbanding RM40 bilion tahun ini.

Ini termasuk RM2.5 bilion pinjaman mikro melalui BSN dan TEKUN, serta jaminan kerajaan di bawah SJPP yang dinaikkan kepada RM30 bilion.

Tambahan pula, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menerima RM50 juta bagi menyokong perusahaan koperasi seluruh negara.

Dalam masa sama, Bank Negara Malaysia (BNM) mengubah pendekatan Dana PKS bernilai RM32 bilion kepada sokongan berasaskan jaminan, menumpukan kepada segmen yang kurang akses pembiayaan serta sektor berimpak tinggi seperti pendigitalan, automasi dan peralihan hijau.

Kerajaan turut menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) beralih ke arah ekonomi digital dengan institusi kewangan pembangunan (DFI) menyediakan hampir RM1 bilion untuk automasi perniagaan, manakala SKMM memperuntukkan RM350 juta bagi memperkasa Pusat NADI sebagai hab bimbingan usahawan desa.

Sebagai langkah tambahan mengurangkan kos operasi, kerajaan turut mencadangkan peningkatan nilai ambang gaji bagi kontrak penggajian yang dikecualikan duti setem daripada RM300 kepada RM3,000 sebulan bermula 1 Januari 2026.

Anda Mungkin Berminat