PARLIMEN | Kerajaan menumpukan Belanjawan 2026 kepada pembangunan bakat tempatan, dengan tumpuan besar terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk ekonomi masa depan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa negara tidak boleh terus bergantung kepada tenaga kerja asing, sebaliknya perlu menjadi hab bakat tempatan yang mampu menguasai sektor berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.
“Lebih ramai bakat tempatan dalam bidang TVET diperlukan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi.
“Majlis TVET Negara akan memperkukuh ekosistem TVET termasuk melalui penggubalan Akta TVET,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Kerajaan memperuntukkan RM7.9 bilion bagi sektor TVET tahun depan, meningkat daripada RM7.5 bilion pada tahun sebelumnya. Peruntukan ini akan menampung latihan, pembiayaan pelajar serta penaiktarafan kemudahan institusi TVET di seluruh negara.

Majlis TVET Negara turut menerima RM45 juta bagi memperkenalkan program teknologi digital dan AI kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok melalui inisiatif IPT@Komuniti, langkah yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan menjadikan TVET inklusif dan berorientasikan masa depan.
Antara inisiatif utama:
- Institusi TVET Kementerian Pendidikan (KPM) diperuntukkan RM1.3 bilion bagi mendidik 79,000 penuntut.
- HRD Corp menyediakan 3 juta peluang latihan dengan dana RM3 bilion, memfokuskan sektor teknologi tinggi, digital dan tenaga hijau.
- Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menawarkan RM650 juta pembiayaan kepada lebih 25,000 pelatih, khususnya dalam bidang AI, EV dan semikonduktor.
- Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Program Akademi Dalam Industri memperuntukkan RM34 juta untuk melatih tenaga kerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
Selain itu, GiatMARA akan melatih lebih 13,000 golongan tumpuan termasuk pekerja gig, manakala Kolej Komuniti menyediakan program pembelajaran sepanjang hayat untuk OKU, warga emas, ibu tunggal dan Orang Asli.
Baca juga: