Belanjawan 2026 Seiring Tahun Pertama RMK13 – PM

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 akan dirangka dan dilaksanakan selari dengan aspirasi tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang memberi penekanan terhadap keseimbangan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, belanjawan kali ini akan memfokuskan kepada usaha meningkatkan ‘lantai pendapatan’ rakyat sebagai langkah menangani kesenjangan ekonomi dan tekanan kos sara hidup yang semakin meruncing.

“Tahun ini adalah tahun pertama pelaksanaan RMK13.

“Maka, program yang digerakkan menerusi Belanjawan 2026 mesti selari dengan hasrat dan kerangka besar rancangan itu, yang menekankan soal siling dan lantai yang harus dinaikkan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan terhadap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang telah membentangkan beberapa keutamaan utama sebagai asas pembentukan belanjawan akan datang.

Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi yang dicapai negara tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut angka tetapi mesti diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat khususnya dari segi pendapatan boleh guna.

“Kalau kita hanya bicara tentang pertumbuhan dan pelaburan tetapi tidak memikirkan tentang lantai (pendapatan rakyat), maka itu akan jadi masalah.

“Harga barang tidak akan turun, malah terus meningkat. Maka gaji rakyat mesti naik dengan setimpal,” katanya.

Menurut takwim Parlimen, Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini.

Anda Mungkin Berminat