Belanjawan 2026: Semangat MA63, Sabah-Sarawak Terima Peruntukan Tertinggi RM12.9 Bilion

PARLIMEN | Kerajaan MADANI memberi komitmen untuk menerjemah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke bentuk tindakan nyata, khususnya dalam memperkasa pembangunan prasarana dan ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen menyifatkan langkah ini bukan sekadar janji politik, tetapi ikhtiar tuntas merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, sejajar dengan aspirasi keadilan wilayah yang dijamin di bawah MA63.

“Menyemangati Perjanjian Malaysia 1963, Kerajaan MADANI bertekad memastikan kepesatan pembangunan di Sabah dan Sarawak. Ini bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Sabah dan Sarawak masing-masing menerima peruntukan pembangunan persekutuan tertinggi dalam sejarah, menandakan perubahan besar dalam keutamaan dasar nasional:

  • Sabah: RM6.9 bilion (berbanding RM4.4 bilion pada 2022)
  • Sarawak: RM6 bilion (berbanding RM2.9 bilion pada 2022)

Selain itu, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak turut dinaikkan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta tahun lalu, satu langkah yang disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap hak kewangan negeri-negeri Borneo itu di bawah MA63.

Secara keseluruhan, projek-projek prasarana rakyat di Sabah dan Sarawak melibatkan kos keseluruhan mencecah RM48 bilion.

Langkah-langkah ini, menurut Anwar, menggambarkan tekad kerajaan untuk memulihkan keyakinan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap komitmen kerajaan pusat.

“Inilah maksud sebenar Malaysia MADANI, keadilan bukan hanya pada kata, tetapi pada tindakan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat