PETALING JAYA: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyambut baik Belanjawan MADANI 2026 yang memperuntukkan lebih RM580 juta kepada sektor sukan.
Beliau menyifatkannya sebagai lonjakan besar ke arah memperkukuh ekosistem sukan negara dari peringkat akar umbi hingga ke pentas dunia.
Tengku Zafrul turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas komitmen yang jelas terhadap pembangunan sukan yang inklusif dan berprestasi tinggi.
“Syabas dan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas Belanjawan2026 yang mengukuhkan komitmen terhadap sukan negara.
“Sebagai Presiden BAM, peruntukan lebih RM580 juta ini benar-benar menyuntik semangat, merangkumi program berprestasi tinggi (termasuk Road to Gold), persiapan Sukan SEA dan ASEAN Para 2027 di Malaysia, pemerkasaan atlet para dan sukan orang pekak, penyelenggaraan serta pembaikan fasiliti belia dan sukan di seluruh negara serta naik taraf padang sekolah KPM,” katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan terhadap kejayaan beregu campuran Chen Tang Jie–Toh Ee Wei dan beregu wanita Pearly Tan–Thinaah Muralitharan di Kejuaraan Dunia BWF membuktikan bahawa pelaburan dalam sukan elit bukan sahaja berbaloi, malah mampu menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.
Di peringkat akar umbi, beliau menyambut baik geran sepadan RM30 juta kepada NGO dan persatuan sukan yang dilihat mampu meluaskan asas bakat melalui aktiviti sukan rakyat.
Tambahan pula katanya, insentif cukai kepada organisasi sukan yang diluluskan LHDNM untuk menggunakan sebahagian pendapatan bagi aktiviti sukan dijangka menarik lebih banyak dana swasta, sekali gus menjadikan ekosistem sukan negara lebih mampan dan lestari.
“Di peringkat akar umbi, geran sepadan RM30 juta untuk NGO/persatuan sukan akan meluaskan asas bakat melalui aktiviti sukan rakyat.
“Lebih strategik lagi, galakan kepada organisasi sukan diluluskan LHDNM untuk menggunakan sebahagian pendapatan bagi aktiviti sukan akan menarik dana swasta dan menjadikan ekosistem kita lebih mampan,” katanya.