Belanjawan Oktober Depan Bakal Ada Pengumuman Penting – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa satu pengumuman besar dan penting akan dibuat semasa pembentangan Belanjawan Madani 2026 yang dijadual berlangsung Oktober ini.

Menurutnya, pengumuman tersebut akan menjadi antara tumpuan utama belanjawan dan akan disampaikan secara rasmi pada hari pembentangan.

“Ada pengumuman jauh lebih penting pada hari Belanjawan Oktober nanti, Insya-Allah.

“Jadi, sudah-sudahlah, biar saya rumuskan pada petang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Walaupun tidak memperincikan bentuk pengumuman tersebut, kenyataan Perdana Menteri itu mencetuskan tanda tanya dan harapan dalam kalangan penjawat awam serta rakyat khususnya menjelang sesi belanjawan yang dijangka membawa hala tuju baharu dalam pembangunan negara.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga perkhidmatan awam atas sumbangan mereka yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan dan pengiktirafan yang diraih Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Negara kita tidak akan jadi begini, diiktiraf dan mencatat beberapa kejayaan tanpa sumbangan saudara-saudara. Terima kasih banyak,” ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian negara bukan hasil individu semata-mata tetapi lahir daripada pengorbanan dan khidmat cemerlang penjawat awam yang sentiasa komited dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Mengikut takwim Parlimen, Belanjawan Madani 2026 dijadual dibentangkan pada 10 Oktober ini.

Anda Mungkin Berminat