Belanjawan Rakyat 2026: Bab Baru Ekonomi Negara, Jalan Keluar Dari Lingkaran Defisit

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | Bertitik tolak daripada tulisan dalam Al- Muqaddimah karya Ibnu Khaldun pada tahun 1377 Masihi, bersamaan kira-kira 779 Hijrah, tokoh sosio-ekonomi Islam itu ada mengungkap bahawa jika kerajaan gagal mengawal perbelanjaan akan menimbulkan kesan berantai yang sangat negatif.

Untuk itu apabila meneliti Belanjawan Rakyat 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan satu anjakan besar dalam hala tuju fiskal negara.

Tidak seperti pendahulu dalam tempoh 20 tahun lalu, belanjawan atau lazim disebut bajet adalah strategi terbaik dalam memikat hati rakyat jelata bagi mengukuhkan kuasa pada pilihan raya seterusnya.

Tetapi Belanjawan Rakyat 2026 ada nuansa lain, iaitu ia bukan belanjawan penuh gula-gula politik tetapi terpamer unsur-unsur keberanian yang menuntut kematangan ekonomi dan keberanian politik untuk mengawal defisit serta membina semula daya tahan fiskal negara.

Dengan jumlah keseluruhan RM419 bilion, sedikit lebih rendah daripada tahun sebelumnya.

Belanjawan 2026 membawa mesej jelas: Malaysia sedang beralih daripada era berbelanja tanpa batas kepada era berbelanja dengan hikmah.

Ini dapat dilihat menerusi langkah kerajaan menurunkan defisit di bawah 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) seiring dengan pandangan Ibnu Khaldun bahawa “ketika cukai berlebihan dan perbelanjaan kerajaan tidak terkawal, ekonomi akan melemah dan hasil akhirnya berkurang.”

Ibnu Khaldun menegaskan bahawa kekuatan fiskal sesebuah kerajaan bukan bergantung kepada banyaknya kutipan cukai atau besarnya perbelanjaan.

Tetapi kepada keadilan dan kecekapan dalam pengurusan sumber.

Inilah falsafah yang kini diterjemahkan oleh kerajaan Madani dalam menyeimbangkan antara tanggungjawab sosial dan kelestarian fiskal.

Pendekatan ini juga menepati Teori Konsolidasi Fiskal moden, yang menekankan bahawa disiplin fiskal jangka sederhana adalah asas kepada pertumbuhan jangka panjang.

Dengan mengawal hutang awam sekitar 61 peratus daripada KDNK, Malaysia mengembalikan keyakinan pelabur dan kestabilan makroekonomi.

Nilai Manusia Ekonomi MADANI

Penstrukturan semula subsidi melalui PADU ialah langkah penting menuju kecekapan dan keadilan. 

Ia bertepatan dengan dua prinsip utama ekonomi, kecekapan Pareto dan keadilan Khalduniah.

Menurut Ibnu Khaldun, keadilan ekonomi bermula apabila “pemerintah menyalurkan hak kepada yang berhak, dan tidak membebankan rakyat dengan ketidakadilan fiskal.”

Subsidi pukal yang memberi manfaat kepada golongan berkemampuan adalah bentuk ketidakadilan ekonomi yang halus, ia menindas secara senyap mereka yang benar-benar memerlukan.

Dengan pendekatan subsidi bersasar, kerajaan memastikan setiap sen bantuan memberi manfaat kepada golongan rentan, tanpa menjejaskan ruang pelaburan produktif.

Inilah bentuk keseimbangan antara kebajikan dan kecekapan, antara hati nurani dan rasional ekonomi.

Meneliti lebih lanjut, antara fokus Belanjawan 2026 yang paling ketara ialah terhadap ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan industri hijau menandakan perubahan paradigma pembangunan negara.

Langkah ini mencerminkan bahawa inovasi, ilmu dan modal insan ialah enjin sebenar pertumbuhan jangka panjang.

Pelaburan dalam sektor AI, automasi dan tenaga bersih bukan sekadar untuk mencipta pekerjaan baharu, tetapi membina asas ekonomi berpengetahuan tinggi.

Ia sejajar dengan pandangan Ibnu Khaldun bahawa “kemakmuran lahir daripada produktiviti dan kemahiran manusia, bukan dari hasil kekayaan semata-mata.”
Dengan memperkukuh keupayaan ilmu dan inovasi, Malaysia sedang mengangkat nilai manusia sebagai pemacu utama ekonomi Madani.

Situasi ini juga dapat dilihat melalui program Desa MADANI dan Agro Maju, Belanjawan 2026 menekankan pembangunan luar bandar yang inklusif daripada infrastruktur asas kepada digitalisasi desa.

Pendekatan ini bukan semata-mata sosial, tetapi berpaksikan idea Ibnu Khaldun bahawa “keadilan dalam pembahagian kemakmuran adalah asas kestabilan sesebuah tamadun.”

Ibnu Khaldun percaya bahawa apabila jurang antara pusat dan pinggiran terlalu luas, ekonomi akan kehilangan daya tenaga sosial (asabiyyah) yang menjadi sumber kemajuan sebenar.

Oleh itu, keutamaan kepada ekonomi desa bukan sekadar dasar pembangunan, tetapi langkah membina semula kekuatan sosial dan daya tahan negara.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penekanan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semestinya terus menjadi tunjang ekonomi negara.

Bantuan kewangan, potongan cukai, dan galakan digitalisasi bukan semata untuk merancakkan aktiviti ekonomi, tetapi untuk memperkukuh rantaian nilai tempatan yang sebenarnya sesuatu yang amat ditekankan oleh Ibnu Khaldun, bahawa “produktiviti rakyat ialah sumber sebenar kekayaan negara.”

Langkah ini juga sejajar dengan Teori Pengganda Keynes setiap RM1 pelaburan produktif menjana RM2–3 kepada KDNK, jauh lebih tinggi berbanding perbelanjaan sosial biasa.

Melalui Belanjawan Rakyat ini, sektor PKS kekal sebagai nadi ekonomi negara, menyumbang lebih 97 peratus kepada struktur perniagaan dan 38 peratus kepada KDNK.

Jawapan terkini di Parlimen, Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan betapa dana RM1.5 bilion jelas memperkukuh daya tahan sektor ini.

Langkah ini meliputi jaminan RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu pengeksport PKS mendapatkan pinjaman bank.

Manakala Dana Pembiayaan Mudah RM500 juta melalui Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) bagi membantu usahawan menaik taraf teknologi dan berdaya saing.

Menurut Tengku Zafrul, dana ini adalah langkah mitigasi terhadap ancaman tarif AS dan sebagai dorongan untuk memperluas pasaran eksport ke 28 negara FTA.
Langkah ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi strategi ekonomi adaptif  dalam memastikan PKS tidak terperangkap dalam gelombang proteksionisme global.

Dari sudut teori ekonomi, inisiatif ini mencerminkan Teori Pengganda Keynes bahawa pelaburan produktif dalam PKS boleh menggandakan pertumbuhan KDNK melalui peningkatan output dan pekerjaan.

Sementara itu, dari kaca mata Ibnu Khaldun, “produktiviti rakyat ialah sumber sebenar kekayaan negara.”

Dengan memperkasa PKS dan industri tempatan, Malaysia sedang memperkukuh akar ekonomi sebenar, bukan sekadar angka makro, tetapi kekuatan mikroekonomi yang lestari.

Kesimpulannya Belanjawan Rakyat 2026 bukan bajet yang menawan emosi pengundi, tetapi yang menguji kematangan negara. 

Ia menuntut kefahaman bahawa jalan keluar dari lingkaran defisit bukan melalui perbelanjaan besar, tetapi melalui pengurusan bijak dan berprinsip.

Ibnu Khaldun pernah mengingatkan bahawa “keruntuhan sesebuah negara bermula apabila perbelanjaan melebihi hasil, dan kemewahan dijadikan dasar pemerintahan.”

Maka, Belanjawan 2026 ialah usaha mengembalikan negara kepada neraca keseimbangan antara akal dan amanah, antara pertumbuhan dan keadilan.

Malaysia kini sedang menulis bab baru, iaitu daripada ekonomi yang bergantung kepada hutang, menuju ekonomi yang bergantung kepada hikmah.

Belanjawan Rakyat 2026 memperlihatkan kombinasi unik antara hikmah klasik Ibnu Khaldun dan strategi moden MITI  mengurus fiskal dengan keadilan, memperkukuh industri dengan daya saing, dan menstruktur semula ekonomi demi masa depan yang lestari.

*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat