Belanjawan Selangor 2026: Pembangunan komprehensif SGKV diteruskan

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor meneruskan pelaksanaan Pembangunan Komprehensif Lembah Klang Raya Selangor (SGKV) dengan peruntukan berjumlah RM3 juta, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, inisiatif yang melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya itu diteruskan bagi meningkatkan daya saing, kecekapan tadbir urus serta kesejahteraan bandar-bandar utama di negeri ini.

“Kerajaan Negeri meneruskan tekad memperkukuh pembangunan pentadbiran bersepadu menerusi inisiatif SGKV yang merangkumi empat PBT bertaraf bandar raya iaitu Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Klang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Amirudin turut memaklumkan bahawa Selangor telah meluluskan cadangan penubuhan Perbadanan Metropolitan Selangor, yang kini dalam proses semakan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri sebelum dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri akan datang, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Peguam Negara.

“Penubuhan perbadanan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih terancang, efisien dan berdaya tahan, selari dengan aspirasi Selangor sebagai negeri pintar dan progresif, tanpa menjejaskan mana-mana tanggungjawab PBT,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin menegaskan bahawa penggabungan empat bandar raya tersebut di bawah konsep Lembah Klang Raya berpotensi meletakkan Selangor sebagai pesaing kota-kota utama Asia melalui penyediaan infrastruktur fizikal dan digital bertaraf antarabangsa.

Gabungan Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Klang, jelasnya, menjadi model metropolitan yang memperkukuh ketersambungan ekonomi dan fizikal.

Dasar SPEED Selangor diseragamkan di 12 PBT

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Dasar SPEED Selangor yang dilancarkan Oktober lalu kini diseragamkan di kesemua 12 PBT bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta merealisasikan aspirasi negeri sebagai destinasi mesra pelaburan.

“SPEED Selangor bertujuan mempercepat dan mempermudah proses kelulusan pembangunan serta pelesenan perniagaan daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek industri dan komersial yang strategik dan berimpak tinggi,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat