Belia Digalak Sertai Ternakan Ayam SAGA – Menteri

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru anak-anak muda agar berani menceburi bidang pertanian khususnya dalam ternakan ayam SAGA yang dilihat sebagai peluang menjana pendapatan stabil serta berpotensi dikembangkan sebagai projek jangka panjang.

Beliau berkata, ternakan ayam SAGA bukan sahaja menjanjikan pulangan konsisten, malah mampu menjadi asas kepada pembangunan agropreneur muda sekiranya disertai dengan perancangan jelas dan kesungguhan untuk bermula.

“Saya yakin, dengan sokongan yang ada, lebih ramai belia mampu tampil sebagai agropreneur ternakan yang berdaya tahan, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini membuka permohonan Program Agropreneur NextGen, yang memberi peluang kepada belia untuk memulakan atau mengembangkan projek agro termasuk ternakan ayam.

Program itu menawarkan geran dalam bentuk barangan projek dengan nilai sehingga RM30,000 bagi kategori ‘Start-Up’ dan sehingga RM50,000 bagi kategori ‘Scale-Up’ bergantung kepada keperluan projek.

Proses permohonan turut dipermudahkan dengan hanya tiga langkah iaitu mendaftar di portal eGAN, melengkapkan borang permohonan dan menghantarnya untuk penilaian Jabatan pembimbing.

Permohonan dibuka sepanjang tahun, sekali gus memberi ruang kepada belia untuk merancang dan memulakan projek pada bila-bila masa.

Mohamad Sabu turut menekankan bahawa sokongan kerajaan melalui program itu adalah bukti komitmen dalam melahirkan generasi agropreneur muda yang mampu memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh diakses melalui pautan rasmi https://t.me/mydoahq/2277.

“Kalau ada minat menternak ayam SAGA, ini masanya untuk mula,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat