Bella Astilah Terima Anugerah Ikon Ibu Muda

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 31, menerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Menerusi siaran media Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), anugerah itu diperkenalkan buat julung kalinya dan dianugerahkan kepada Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah.

“Anugerah itu bagi menginspirasikan semangat Bella, ibu muda yang memanfaatkan sepenuhnya bakat dimiliki untuk bangkit daripada sejarah hidup penuh cabaran demi membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Selain anugerah tersebut, Anugerah Ibu Inspirasi 2025 diberikan kepada Kasmirah Jaafar yang juga anak kelahiran Bekok, Johor tetapi menghabiskan lebih separuh daripada usianya di Sabah.

Anugerah tersebut diberikan kepada Kasmirah melihat kepada perjuangan serta pengorbanan ibu tunggal itu dalam membesarkan lima anaknya dengan hasil titik peluh sebagai tukang jahit hingga masing-masing berjaya menjadi pendidik, doktor dan jurutera.

Dalam kenyataan itu, Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri mengingatkan golongan ibu supaya lebih berhati-hati dan berimbang terutama dalam membimbing anak-anak tentang penggunaan teknologi.

Nancy berkata, golongan ibu muda ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup yang tinggi.

“(Selain turut berdepan dengan) tekanan kerja dan keluarga, kekangan kewangan, kekurangan masa untuk diri sendiri serta beban tanggungjawab pendidikan anak-anak,” katanya.

Terdahulu, Nancy menghadiri Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan “Sentuhan Kasih Ibu” di PICC.

Majlis anjuran KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara itu dirasmikan isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin dan turut dihadiri isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.

Anda Mungkin Berminat