Belum rasmi, tapi Zafrul berpotensi bantu perjuangan PKR – Syed Badli

PETALING JAYA: Hasrat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai PKR mungkin belum rasmi, namun ia berpotensi memberi nilai tambah serta membantu memperkukuh perjuangan parti sekiranya diterima secara sah sebagai ahli.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berpandangan demikian keran menurutnya Zafrul berpengalaman luas dalam pentadbiran dan dunia korporat dan ia satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh parti.

“Kebolehan dan kebijakan beliau, termasuk kemahiran yang unik, boleh menjadi satu nilai tambah kepada kita jika beliau benar-benar menyertai PKR. Namun, perkara itu bergantung kepada proses saringan dan penerimaan akar umbi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit hari ini.

Syed Badli turut menjelaskan bahawa setakat ini parti belum membuat sebarang keputusan, memandangkan permohonan rasmi daripada Zafrul masih belum dikemukakan kepada kepimpinan parti.

“Apa yang kita tahu, beliau hanya menyatakan hasrat secara terbuka, namun belum ada borang rasmi diterima. Jadi, parti belum putuskan apa-apa,” katanya.

Mengulas cabaran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu PKR menguji kesetiaan Tengku Zafrul sekiranya diterima masuk, Syed Badli menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak relevan dan tidak berbangkit memandangkan permohonan rasmi belum pun dibuat.

“Kesetiaan Zafrul kepada UMNO sudah pun terjawab apabila beliau mengumumkan keluar parti. Cabaran yang wajar ditujukan ialah kepada beliau, bukan kepada PKR yang belum pun menerima permohonannya,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa parti akan menilai permohonan Zafrul dari pelbagai sudut, termasuk sentimen dan pandangan akar umbi, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, semalam.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil masa yang panjang untuk menilai keserasian dan kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat