Benarkah Konvesyen 153 beri makna kepada Melayu majoriti? – Mahathir Rais

PETALING JAYA: Retorik bahawa Melayu terancam kerap diulang bukan untuk membina kekuatan kolektif, tetapi untuk melindungi kedudukan segelintir individu.

Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Mahathir Mohd Rais mengulas mengenai Konvensyen Melayu 153 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini yang disifatkannya sebagai alat dalam politik.

“Sejarah menunjukkan banyak konflik dalaman berpunca daripada perebutan kuasa dan kedudukan, bukan prinsip atau ideologi.

“Politik identiti dijadikan saluran mengabsahkan perebutan pengaruh, manakala kepentingan rakyat kekal di pinggir,” katanya menerusi media sosial pada Jumaat.

Beliau mempersoalkan sejauh mana konvensyen ini benar-benar menyentuh kehidupan majoriti orang Melayu atau sekadar mengukuhkan pengaruh segelintir pemimpin.

“Jika Konvensyen Melayu 153 hanya menjadi pentas untuk kelangsungan politik segelintir pemimpin, ia tidak memberi makna kepada majoriti orang Melayu. Perjuangan sebenar ialah membela rakyat yang benar-benar memerlukan, tanpa mengira kaum.

“Rakyat Malaysia masih berdepan masalah kemiskinan tanpa mengira kaum. Kekurangan pendidikan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup tinggi terus menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

“Anak-anak daripada keluarga miskin sering tercicir daripada sistem pendidikan awal, menjadi masalah rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Untuk rekod, Sekretariat Orang Melayu (SOM) akan menganjurkan Konvensyen 153 bagi membincangkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.

Konvensyen julung kali itu dijangka dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Tunku Abdul Rahman nanti di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat