Polis Johor menyaman seorang lelaki berusia 25 tahun yang membenarkan kanak-kanak lelaki 13 tahun, memandu sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 18 Februari lalu pada pukul 5.30 petang di kawasan Taman Permainan Taman Daya, Johor Bahru, Johor.
“Suspek yang merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak terbabit dikatakan membenarkan kanak-kanak tersebut untuk memandu kereta berkenaan dengan tujuan untuk mengajar kanak-kanak tersebut memandu kereta.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Raub turut menyatakan suspek sudah dikenakan tindakan saman atas kesalahan mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Untuk kedua-dua kesalahan tersebut, suspek boleh dikenakan hukuman RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan mengabaikan kanak-kanak.
Bagi tindakan saman, suspek boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.
Sebelum ini, kejadian tersebut turut tular di media sosial.
Baca juga: