Beras RM2.1 juta dirampas, gudang tidak berlesen diserbu

Sebanyak 645.75 tan beras pelbagai gred termasuk beras putih import (BPI) dianggarkan bernilai RM2.1 juta dirampas dari sebuah gudang di Sibu, Sarawak.

Rampasan itu dibuat menerusi serbuan bersepadu di bawah Op Taring Bravo 3 dilakukan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), pada 15 dan 16 Mei lalu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan terbabit tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“KPB menyita stok beras terbabit serta dokumen berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 P.U (A) 624.

“Siasatan turut dijalankan terhadap syarikat berkenaan, untuk melihat sama ada ia terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu beras putih import,” katanya dalam kenyataan itu.

Mulai 5 Oktober 2023, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan subsidi BPI RM950 setiap tan metrik peringkat borong bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga jualan runcit adalah tidak melebihi RM31 bagi tiap satu kampit bagi 10 kilogram. 

Menurut KPKM, tindakan menyeleweng barang bersubsidi adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang membawa kerugian kepada negara dan mengakibatkan rakyat tidak dapat membeli barangan itu.

“KPB sentiasa berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan negara dalam mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mengekang pihak yang cuba menyeleweng BPI di Sabah dan Sarawak termasuk cubaan membawa keluar beras melintasi sempadan negara,” jelasnya.

Justeru, orang awam diminta menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan padi dan beras melalui Portal Aduan KPB atau hubungi Ibu Pejabat KPB, Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat