Berhenti Harap Benih Import: Malaysia Bangkit Hasil Benih Sendiri

PUTRAJAYA: Malaysia kini mengambil langkah berani dalam menangani isu kebergantungan tinggi kepada benih import, khususnya dalam sektor sayuran dan tembikai yang kini mencecah 90 peratus penggunaan tahunan, dengan nilai RM2.7 juta.

Dalam Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kerajaan menetapkan beberapa hala tuju penting untuk memperkukuh agenda keterjaminan benih tempatan.

Antara keputusan utama penubuhan Majlis Penasihat MBN yang akan dihimpunkan daripada pelbagai pakar sub-sektor bagi memberi panduan dasar dan hala tuju strategik.

Manakala MARDI diiktiraf sebagai peneraju Hab Benih Negara dengan tanggungjawab mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih berkualiti tinggi.

Kerajaan juga fokus kepada penghasilan ‘pure line’ ayam pedaging dan penelur tempatan.

Ini termasuk usaha memperluas pengkomersialan baka Ayam Saga, warisan tempatan sejak 2008.

Turut digariskan pelaksanaan Program Pemulihan Baka Lembu Susu Mafriwal 2.0 bagi menyokong industri tenusu nasional.

Turut diperkasakan ialah pembangunan benih udang galah tempatan melalui pelan NBC (National Broodstock Centre) dan BMC (Broodstock Multiplication Centre).

Kerajaan menegaskan bahawa inisiatif keterjaminan benih ini bukan semata-mata untuk menjamin bekalan makanan.

Malah berkait rapat dengan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Kita perlu hasilkan benih tempatan yang tahan lasak, berkualiti tinggi dan mampu memenuhi keperluan rakyat.

“Ini bukan soal pertanian semata-mata, ini soal masa depan negara,” tegas beliau.

Dengan pelaksanaan menyeluruh Agenda Keterjaminan Benih Negara, Malaysia mensasarkan kemandirian dalam sektor benih tempatan.

Sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar yang terdedah kepada krisis global.

Anda Mungkin Berminat