Beri bayi 16 bulan ‘makan’ dadah, pasangan kekasih ditahan di Johor

Polis menahan sepasang kekasih yang disyaki memberi dadah kepada bayi lelaki berusia 16 bulan di Iskandar Puteri, Johor.

Bayi tersebut yang dipercayai anak kepada pasangan terbabit didapati positif dadah atas laporan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kepada polis.

Wanita tersebut yang juga ibu kepada bayi malang itu, dikatakan menghantar anaknya yang mengalami sawan ke HSA sebelum pihak hospital mendapati mangsa positif dadah.

Menurut Berita Harian, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata, pasangan tersebut telah ditahan Selasa minggu lalu.

“Setelah menerima laporan, pihak polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun di HAS dan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Salleh, Johor Bahru.

“Hasil ujian awal air kencing mendapati kedua-dua pasangan tersebut positif dadah, dan bayi tersebut positif methamphetamine atau amphetamine,” tambah beliau.

Tambahnya, pasangan itu sudah dituduh di mahkamah semalam mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ditawarkan jaminan RM6,000 setiap seorang.

Namun, pasangan tersebut gagal untuk membayar wang jaminan, maka masing-masing kini ditahan di Penjara Koreksional Ledang dan Penjara Kluang.

Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat