Beri Pilihan Umur Bersara, 60 atau 65 – NUBE

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menegaskan sekiranya kerajaan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun, pekerja perlu diberikan pilihan untuk bersara pada usia 60 tahun atau meneruskan kerja sehingga had usia ditetapkan.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, fleksibiliti itu penting untuk mempertimbangkan kesihatan, kestabilan kewangan serta kehendak peribadi pekerja tanpa menafikan hak mereka untuk terus menyumbang kepada ekonomi.

“Dengan memberi pilihan untuk bersara lebih awal, kita bukan sahaja menghormati hak individu tetapi juga membantu mengurangkan tekanan kewangan terhadap anak-anak yang mungkin perlu menanggung ibu bapa mereka jika mereka bersara terlalu awal dan tidak mencukupi simpanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menjawab kebimbangan mengenai peluang pekerjaan untuk golongan muda, Solomon berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan peningkatan umur persaraan akan menyebabkan kesesakan dalam pasaran kerja.

“Ketika umur persaraan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun pada 2012, tidak wujud kesan besar terhadap peluang atau pendapatan pekerja muda.

“Malah, lebih sedekad kemudian, tiada bukti kukuh menunjukkan peningkatan umur persaraan menyebabkan kesesakan dalam pasaran kerja,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai perubahan minat generasi muda yang kini lebih cenderung kepada ekonomi gig, keusahawanan dan kerja fleksibel.

“Golongan muda hari ini tidak lagi hanya mengejar kerja pejabat konvensional seperti generasi terdahulu.

“Ini menunjukkan tenaga kerja muda dan senior kini bergerak dalam laluan kerjaya yang berbeza dan tidak semestinya bersaing antara satu sama lain,” katanya.

Dalam kenyataan itu, NUBE menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dengan mengambil kira peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia.

“Umur persaraan 60 tahun ketika ini boleh menyebabkan pekerja produktif bersara terlalu awal, sekali gus membazirkan modal insan yang sangat bernilai,” katanya.

Dalam sektor perbankan, katanya, ramai pekerja berpengalaman telah bersara awal sedangkan automasi dan teknologi telah mengurangkan banyak jawatan tradisional dan menambah tekanan kepada tenaga kerja lebih muda.

Solomon berkata, tenaga kerja senior memberi manfaat besar kepada industri kerana pengalaman dan pemahaman mereka mengenai perubahan ekonomi serta tingkah laku pelanggan.

“Bagi NUBE, tenaga kerja lebih senior memberi manfaat besar kepada industri perbankan kerana mereka memiliki pengalaman terkumpul selama berdekad dan pengetahuan tersirat yang tidak ternilai.

“Pegawai bank senior juga boleh menjadi mentor yang sangat baik untuk rakan sekerja lebih muda dan menjalin hubungan jangka panjang dengan pelanggan,” katanya.

NUBE turut mencadangkan agar dasar pekerjaan masa depan mempertimbangkan sistem persaraan berperingkat, latihan kemahiran semula dan tempat kerja mesra usia sebagai pendekatan menyeluruh dalam menyokong kenaikan umur persaraan.

“Kita harus lihat lanjutan umur bekerja bukan sebagai beban tetapi sebagai peluang.

“Dengan dasar yang sesuai, keseimbangan hidup-kerja boleh dicapai walaupun dengan tempoh bekerja yang lebih panjang,” tambah Solomon.

Anda Mungkin Berminat