Beri ruang proses pelantikan Ketua Hakim Negara ikut perlembagaan – Azalina

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, dengan mengambil kira kebimbangan awam yang semakin meningkat.

“Sehingga pelantikan rasmi dibuat, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan fungsi Ketua Hakim Negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan serta keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman terus terpelihara.

“Kerajaan MADANI komited untuk memperkukuh kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman menerusi penambahbaikan jangka panjang demi ketelusan dan kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Azalina turut menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses pelantikan mengikut peruntukan perlembagaan tanpa gangguan demi kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi.

Terdahulu, kebimbangan timbul susulan gesaan sembilan Ahli Parlimen PKR agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkaitan proses pemilihan hakim oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

Mereka mempersoalkan dakwaan kerajaan tidak bertindak terhadap senarai calon yang dikemukakan SPK sebelum persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut dibangkitkan ialah dakwaan mesyuarat tergempar SPK yang diadakan tanpa notis mencukupi, serta dakwaan campur tangan dalam urusan kehakiman.

Gesaan penubuhan RCI turut disokong pelbagai pihak termasuk pembangkang, yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti sementara siasatan dijalankan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat