Bersatu Ada ‘Penyakit Kronik’, Jika Tak Berubat Mungkin Mati – Marzuki

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Ahmad, memberi peringatan keras mengenai pergolakan dalaman parti itu yang menurutnya boleh mengancam masa depan Bersatu jika tidak ditangani segera.

Dalam satu kenyataan, Marzuki mengimbau kembali sejarah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ketika Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu membuat keputusan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ketujuh (PM-7), walaupun ada pandangan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin juga layak.

Menurutnya, ketika itu Muhyiddin sendiri yang menyuarakan sokongan supaya Dr Mahathir menjadi calon PM, sekali gus membawa kepada keputusan sebulat suara MPT.

“Ketika itu saya tidak dengar seorang pun ahli Bersatu yang kata keputusan MPT mencalonkan Tun M sebagai PM-7 salah.

“Padahal parti Bersatu waktu itu hanya ada seorang Ahli Parlimen (Muhyiddin) dan dua ADUN (Mukhriz Mahathir dan Shahrudin Salleh),” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa meskipun Bersatu masih kecil pada waktu itu, ahli-ahlinya tetap bersatu hati mempertahankan keputusan parti.

Marzuki kemudian membandingkan keadaan tersebut dengan situasi Bersatu masa kini, yang memiliki lebih 90 wakil rakyat namun berdepan perbalahan dalaman berhubung keputusan pimpinan tertinggi.

“Sekarang Bersatu ada lebih 90 wakil rakyat. Tapi berbalah dalam hal mempertahankan keputusan parti.

“Ada penyakit kronik yang sedang melanda Bersatu. Jika tidak diubat, mungkin mati sebelum tua,” tegasnya.

Sebelum ini, isu kepimpinan dan arah tuju Bersatu menjadi perhatian selepas beberapa kenyataan bercanggah daripada pemimpin parti.

Anda Mungkin Berminat