Bersatu Akui Masalah Dalaman, Tekad Cari Penyelesaian

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara terbuka mengakui wujudnya masalah dalaman yang perlu ditangani segera dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berikrar untuk mencari penyelesaian secara kolektif demi memperkukuh perpaduan dan hala tuju parti.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa malam, MPT Bersatu yang bersidang di bawah pimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, menyatakan komitmen untuk menangani isu dalaman dengan semangat saling menghormati dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Parti.

“MPT memandang serius masalah dalaman parti. MPT bertekad untuk terus berusaha secara kolektif bagi mencari penyelesaian dengan semangat saling hormat-menghormati, persefahaman yang baik dan tegas mempertahankan Perlembagaan Parti,” kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan tersebut.

Pengakuan itu hadir di tengah-tengah persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17, yang turut menjadi fokus utama mesyuarat MPT

Menurut beliau, Bersatu bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional berhasrat meletakkan calon-calon berwibawa yang diyakini mampu membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya.

Dalam usaha memperkukuh struktur dalaman, MPT turut melantik lima individu untuk menganggotai Lembaga Rayuan parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Bin Azizan @ Harun.

Antara yang dilantik ialah Datuk Seri Zulkifli Noordin, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Datuk Fahimee Ismail.

Anda Mungkin Berminat