PUTRAJAYA: Polemik dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tercetus susulan sidang media sayap Wawasan Setia Warga Johor (WSWJ) pada Isnin bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kata Pensyarah Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim.
Menurutnya, jika ditelusuri latar belakang kepimpinan tertinggi parti itu dan “disambung titik-titiknya” (connect the dots), mudah untuk memahami punca sebenar konflik yang sedang berlaku.
“Kepimpinan tertinggi Bersatu kini disandang oleh aktor-aktor politik yang bijak mengintai, mencatur dan mengambil peluang.
“Sesetengah orang guna istilah oportunis, tapi saya lebih selesa guna istilah bijak memanipulasi peluang – lebih berhemah,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Dr Yusri menjelaskan, ramai antara pimpinan utama Bersatu memiliki sejarah politik yang menunjukkan keupayaan menyesuaikan diri dengan landskap kuasa, termasuk berpindah parti selepas pilihan raya demi kelangsungan politik masing-masing.
Sebagai contoh, beliau menyebut Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang memenangi kerusi Parlimen Larut atas tiket BN dalam PRU14 sebelum berpindah ke Bersatu selepas kekalahan BN.
Naib Presiden Ronald Kiandee turut mengambil langkah serupa apabila keluar UMNO selepas menang di Beluran dan menyertai BERSATU sewaktu parti itu berada dalam kerajaan.
Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula dikaitkan dengan siri peralihan kuasa sejak pemecatannya daripada UMNO, penyertaannya ke Pakatan Harapan (PH), serta keputusannya membawa BERSATU keluar PH dalam Langkah Sheraton, yang akhirnya membentuk kerajaan baharu.
“Inilah figura-figura besar yang berada dalam kepimpinan tertinggi Bersatu sekarang, yang mempunyai rekod cemerlang dan bijak mengintai, mencatur dan mengambil peluang politik,” katanya.
Tambahnya, keadaan ini menjelaskan dinamika semasa parti tersebut yang menurutnya lebih bersifat perebutan posisi dan survival politik berbanding kesatuan idealisme.
“Apa yang sedang berlaku sekarang adalah manifestasi daripada kepakaran tersebut, masing-masing sedang mencatur untuk diri dan klip masing-masing,” ujarnya.
Dr Yusri turut menepis tafsiran teologi yang mengaitkan konflik Bersatu dengan isu “Qunut Nazilah”, namun menyentuh hadis yang pernah dijelaskan oleh ilmuwan Dr Rozaimi Ramli bahawa laknat yang tidak kena pada sasaran akan kembali kepada pelakunya.
“Connecting the dots saya hanyalah dalam ruang sosial fizik, adik kepada metafizik, berasaskan pemerhatian terhadap realiti, logik dan rasional yang boleh diukur,” katanya berseloroh.
Baca juga:








