Bersatu hilang hala tuju, parti makin retak – Mahfuz

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin jelas apabila Ahli Parlimen Tasik Gelugur, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung selama sepenggal malah terdapat beberapa ketua bahagian turut dikenakan tindakan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah itu bukan sekadar isu disiplin, namun mencerminkan pergelutan kuasa yang semakin sengit dalam Bersatu.

Mahfuz menjelaskan, punca sebenar krisis terbabit telah berakar sejak Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) lalu, apabila usaha kem tertentu untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti gagal.

“Kekalahan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pimpinan, terutama mereka yang kini lebih rapat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Tindakan disiplin terkini dilihat sebagai lanjutan kepada dendam politik dan percaturan pengaruh dalaman,” ujarnya.

Lebih ironi lagi katanya, krisis itu memuncak hanya sehari selepas Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin berbahas di Parlimen menyerang kerajaan dalam perbahasan Bajet 2026 bersama MP Bersatu dan PAS.

“Di luar, mereka berpura-pura seia sekata di dalam, retak menanti belah.

“Jika urusan parti sendiri pun tidak dapat diselesaikan dengan bijak, bagaimana rakyat mahu percaya bahawa mereka mampu mengurus sebuah kerajaan?” soal Mahfuz.

Justeru katanya, Bersatu kini berada di ambang kehilangan arah dan sokongan.

Ujar beliau lagi, PAS dilihat semakin menguasai pengaruh akar umbi dalam gabungan PN, manakala Bersatu terus kehilangan identiti dan kepercayaan.

“Daripada perjuangan rakyat, mereka kini terperangkap dalam perebutan kuasa peribadi,” tambahnya.

Sementara itu katanya, Kerajaan Madani pula hanya menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi, pembasmian rasuah dan kesejahteraan rakyat.

“Bersatu pula sibuk mengurus politik cantas-mencantas.

“Inilah perbezaan antara politik membina negara dengan politik membinasakan parti sendiri,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat