Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan wajar dikenakan tindakan disiplin dan tingkah laku kerana telah menjejaskan imej parti.
Perkara itu digesa oleh Ketua Badan Pimpinan BERSATU, Negeri Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menerusi satu kenyataan pada Selasa dan menegaskan, isu berkaitan Wan Saiful perlu ditangani segera oleh Lembaga Disiplin Parti.
“Sebagai sebuah organisasi politik yang berteraskan prinsip ketertiban dan tataetika, sebarang pelanggaran disiplin atau tingkah laku yang menjejaskan imej parti tidak boleh dipandang ringan.
“Lembaga Disiplin hendaklah mengambil langkah sewajarnya tanpa lengah, agar keyakinan ahli dan rakyat terhadap ketegasan serta kewibawaan parti terus terpelihara,” katanya.
Sahruddin berpandangan,segala permasalahan dan perbezaan pandangan dalam parti mesti diselesaikan secara berhemah menerusi mesyuarat dan saluran rasmi parti ini kerana pembawakan isu secara terbuka ke arah media hanya akan mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan serta membuka pintu kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan.
“Parti ini perlu kekal sebagai wadah perjuangan yang matang, berdisiplin serta sentiasa mengutamakan kepentingan bersama mengatasi kepentingan peribadi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau bersama Badan Pimpinan Bersatu (BPN) Negeri Johor menyeru semua pimpinan dan ahlinya di semua peringkat untuk kekal focus kepada perjuangan parti, memelihara kesatuan dan tidak terjebak dengan tindakan yang boleh melemahkan kekuatan parti.
“Kami yakin dengan langkah-langkah tegas dan berani, parti ini akan terus dihormati dan diyakini oleh rakyat.
Dalam perkembangan yang sama, Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu turut menggesa Lembaga Disiplin Parti untuk segera melaksanakan prosiding secara telus, adil dan berlandaskan peraturan sedia ada terhadap Wan Saiful.
Menurut Ketuanya, Datuk Razali Idris, kelewatan atau kelonggaran dalam menangani isu terbabit hanya akan menjejaskan integrity parti di mata ahli serta rakyat.
“Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu mengambil perhatian serius terhadap beberapa aduan
pelanggaran disiplin yang membabitkan sejumlah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Tindakan-tindakan tersebut didakwa melibatkan pelanggaran Perlembagaan Parti, keputusan-keputusan yang telah dipersetujui bersama, serta prinsip disiplin yang wajib dipatuhi oleh semua ahli dan pimpinan,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Terdahulu, Wan Saiful yang sebelum ini dipanggil bagi berdepan Lembaga disiplin parti namun ditangguhkan berhubung tindakannya mengumpul akuan berkanun (SD) daripada ketua bahagian Bersatu dan mendakwa akan mengemukakan laporan balas terhadap kedua-dua pemimpin berkenaan.
Dalam pada itu, beliau yang ditekan untuk dikenakan tindakan disiplin ke atasnya apabila mendedahkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa telah mengugut beberapa Ketua Bahagian parti supaya menarik balik Akuan Bersumpah (SD) yang didakwa untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.
Turut diheret Wan Saiful adalah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.