KUALA LUMPUR: Parti BERSATU tidak mampu bergerak mahupun berdiri sendiri tanpa adanya jalinan kerjasama yang erat bersama PAS serta rakan komponen yang lain dalam Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu diakui sendiri oleh Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata pengalaman lalu membuktikan bahawa pendekatan secara solo dalam pilihan raya tidak membawa sebarang kejayaan, sebaliknya kekuatan gabungan seperti PN mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik.
“Sudah ada bukti kalau kita nak pergi secara sendirian, saya fikir kita tidak boleh pergi jauh, kita kena lawan, tetapi kita bersatu dalam satu jemaah yang besar, kesannya lebih baik, dan ia dapat dibuktikan melalui keputusan pilihan raya,” katanya menerusi satu program audiosiar malam tadi.
Kata Muhyiddin, selain PAS, PN turut mendapat penyertaan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), menjadikan gabungan itu pelbagai kaum walaupun berteraskan perjuangan Melayu-Islam.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa PN hanya memperjuangkan agenda Melayu semata, bagaimanapun gabungan itu berharap untuk dapat dilihat dari kaca mata yang lebih inklusif dan dapat diterima oleh semua kaum di negara ini.
“Persepsi itu boleh diubah jika kita ambil langkah-langkah berterusan. Misalnya, BERSATU telah menubuhkan sayap bukan Melayu, menandakan kesediaan kita untuk menerima penyertaan bukan Melayu sebagai sebahagian daripada parti, walaupun asas perjuangan kita kekal,” jelas beliau.
Baca juga: