Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan bahawa mereka tidak berhasrat atau terdesak untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO, meskipun terdapat kenyataan sebelum ini yang mencetuskan spekulasi.
Menurut Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, kenyataan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyebut keterbukaan BERSATU untuk bekerjasama tidak bermaksud parti itu mahu atau sedang merancang hubungan dengan UMNO.
“Kenyataan Timbalan Presiden BERSATU (Hamzah Zainuddin) tidak sama sekali menggambarkan BERSATU berhasrat atau terdesak untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan UMNO.
“Sebaliknya hanya menyatakan bahawa BERSATU terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai ideologi yang sama,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau berkata, prinsip keterbukaan yang dinyatakan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya merujuk kepada kerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai aspirasi dan ideologi perjuangan yang seiring dengan prinsip BERSATU.
Bagaimanapun, Tun Faisal memaklumkan bahawa belum ada perbincangan rasmi atau keputusan mengenai hal ini dalam Biro Politik BERSATU, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU atau Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
“Ia akan dibincangkan secara mendalam dalam masa terdekat,” tambahnya.
Terdahulu, kenyataan Datuk Seri Hamzah dalam satu Podcast yang dihoskan oleh Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim telah mencetuskan perdebatan apabila beliau menyatakan bahawa BERSATU terbuka dan berhasrat untuk menjalinkan hubungan dengan UMNO serta memperbaiki hubungan antara kedua-dua parti.
“Jika dilihat dari sudut agenda, UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, BERSATU juga memegang ideologi yang sama.
“Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama? Ini bukan bermakna BERSATU tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama,” katanya.