PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan menumpukan kembali isu reformasi pilihan raya bagi terutamanya dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pilihan raya yang bersih dan adil akan membuka ruang demokrasi yang lebih baik kepada rakyat serta menatijahkan persaingan politik yang sihat antara calon-calon.
“Pertama sekali, kami menekankan keperluan mendesak untuk meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 agar selari dengan tuntutan semasa, terutamanya dengan memperkenalkan peruntukan khusus terhadap penyalahgunaan sumber kerajaan, memperkemas definisi kesalahan pilihan raya, serta memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan.
“Tiba masanya satu undang-undang yang jelas perlu diperkenalkan oleh Kerajaan Madani bagi menjadikan penggunaan sumber dan jentera kerajaan semasa tempoh pilihan raya sebagai satu kesalahan pilihan raya serta dihukum dengan hukuman yang tegas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mereka menyatakan demikian dalam laporan pemantauan menyeluruh sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang berlangsung pada 26 April lalu.
Menurut BERSIH, dari segi aspek teknikal, perjalanan pilihan raya dilihat berjalan dengan lancar, teratur dan bebas daripada sebarang insiden besar yang mengganggu proses pengundian.
Begitu juga dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi.
“agaimanapun, di sebalik pencapaian ini, pemerhatian kami turut mendedahkan beberapa isu utama yang memerlukan reformasi yang segera.
“Pertama ialah isu penyalahgunaan jentera dan sumber kerajaan semasa tempoh kempen, yang masih berlaku dengan ketara dan berulang.
“Kami merekodkan sekurang-kurangnya lapan insiden di mana kementerian, agensi kerajaan dan menteri menggunakan platform rasmi serta kemudahan awam untuk berkempen secara langsung dan tidak langsung. Fenomena ini memberi kelebihan tidak wajar kepada calon atau parti kerajaan semasa.
“Walaupun kami tidak menafikan kepentingan pembangunan dan bantuan untuk kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat, ia sebaiknya tidak dilakukan sewaktu tempoh pilihan raya,” katanya lagi.
Badan bukan kerajaan itu turut menegur aktiviti berkempen pada hari pengundian yang masih lagi berleluasa dan ini mencetuskan kitaran salah laku yang berulang.
“Isu ketiga yang kami kenal pasti ialah berkaitan dengan akses pengundian. Peratusan keluar mengundi hanya mencatatkan sebanyak 58.06 peratus iaitu jauh lebih rendah daripada sasaran SPR sebanyak 70 peratus.
“Antara faktor yang mungkin menyumbang kepada peratusan ini ialah keletihan politik, notis pilihan raya yang terlalu singkat, serta kesukaran logistik bagi pengundi luar kawasan,” katanya.
Selain itu, BERSIH turut menyeru agar SPR memperluas akses pengundian melalui kaedah seperti undi awal dan undi pos untuk pengundi luar kawasan, serta mempertimbangkan pembukaan pusat undi awal mega di setiap negeri. Perkara ini menjadi lebih mendesak dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang. Lokasi geografi yang jauh dan kos perjalanan yang tinggi akan memberi cabaran tambahan kepada pengundi Sabah yang kini berada di Semenanjung Malaysia.