BERSIH sokong pindaan, pastikan hak berhimpun terjamin

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyokong cadangan berkenaan dengan Pindaan Akta Perhimpunan Aman.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam satu kenyataan mengakui bahawa pindaan tersebut adalah langkah terbaik dalam mengekalkan keterjaminan Malaysia yang berpaksikan sistem demokrasi.

Namun begitu, katanya, cadangan itu diakui tidak mampu untuk bergerak selari, malah perlu lebih komitmen dan usaha jelas daripada kerajaan.

“BERSIH menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini mengenai hasrat kerajaan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) dengan menghapuskan keperluan persetujuan pemilik tempat perhimpunan di bawah Seksyen 11 Akta 736.

“Langkah ini adalah tepat pada masanya untuk memastikan hak rakyat berhimpun secara aman dilindungi sepenuhnya dan selaras dengan prinsip demokrasi.

“Proses pindaan ini perlu dilaksanakan dengan melibatkan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pejuang hak asasi manusia, ahli akademik dan masyarakat sivil.

“Penyertaan pemegang taruh ini penting bagi memastikan pindaan yang dibuat mencerminkan kehendak dan keperluan rakyat serta mematuhi standard hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Selaras dengan perkara itu, BERSIH menyeru kerajaan untuk bukan sahaja menghentikan siasatan terhadap perhimpunan yang telah diadakan sebelum ini tetapi juga menghentikan segala bentuk intimidasi terhadap aktivis dan pejuang hak asasi manusia.

Hal ini berlaku, katanya, di mana gangguan berterusan pihak polis seperti yang berlaku terhadap Pengarah Eksekutif SUARAM semalam yang tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan benar-benar komited untuk melindungi hak bersuara dan berhimpun.

“Pindaan APA 2012 perlu menjadi bukti bahawa kerajaan bukan sahaja menghormati tetapi juga komited untuk memperkasa hak rakyat dalam menyuarakan pandangan mereka tanpa rasa takut.

“Dalam semangat demokrasi, BERSIH menggesa pindaan ini akan segera dilaksanakan dengan telus dan inklusif,” katanya.

Di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menghapuskan syarat bagi penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan diadakan.

Perdana Menteri berkata, pindaan tersebut bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman.

Anda Mungkin Berminat