Beruang mati di LPT2: Aktivis desak bina koridor hidupan liar

Oleh: Syahirah

ISU utama dalam konflik manusia-hidupan liar adalah kawasan hutan yang terputus daripada koridor hidupan liar dek kegagalan rancangan pembangunan Lebuhraya di antara dua hutan yang menjejaskan ‘center forest spine’.

Pada Rabu lalu, insiden seekor beruang matahari jantan seberat 60 kilogram (kg) mati selepas dirempuh kenderaan di Kilometer 406, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin, mengulas lanjut isu ini, menyatakan bahawa kegagalan merancang pembangunan dengan mesra alam telah menjejaskan habitat penting.

Menurutnya, lebuh raya tersebut memecah kawasan hutan kepada dua bahagian, yang mengganggu koridor semula jadi haiwan untuk mencari makanan dan pasangan.

“Beruang matahari, contohnya, memerlukan kawasan luas untuk hidup. Bila habitat mereka terpisah, mereka terpaksa melintasi lebuhraya yang kini menjadi laluan mereka.

Inilah sebabnya kejadian pelanggaran seperti ini berlaku,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Rabu.

https://www.facebook.com/share/r/18HQkCCY6e/?mibextid=UalRPS

Hafizudin menegaskan perlunya koridor hidupan liar seperti jambatan atau terowong yang menyambungkan hutan di kedua-dua sisi lebuh raya.

Selain itu, beliau mencadangkan agar amaran keselamatan dan kamera AES dipasang di kawasan berisiko tinggi untuk mengingatkan pemandu agar berhati-hati.

“Kita juga kena buat satu bancian dekat sepanjang mana-mana highway yang banyak hidupan liar melintas.

“Kenal pasti dan letak satu amaran atau kamera AES supaya kenderaan akan berhati-hati dan boleh elak daripada berlanggar dengan hidupan liar,” tambahnya lagi.

Hafizudin juga menyeru perancangan pembangunan yang lebih mesra alam bagi memastikan keselamatan hidupan liar dan mengurangkan insiden kemalangan yang melibatkan haiwan liar di kawasan hutan.

Anda Mungkin Berminat