Besar Jasa Jururawat Tidak Terungkap Kata – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan penuh makna kepada seluruh jururawat sempena Hari Jururawat Sedunia, dengan menekankan bahawa pengorbanan mereka dalam menjaga kesihatan rakyat tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan jururawat sebagai insan pertama yang hadir ketika kelahiran seseorang dan terus setia memberikan rawatan sepanjang kehidupan.

“Sejak lahir ke dunia, antara yang terawal menyambut dan menjaga kita adalah para jururawat.

“Mereka (Jururawat) hadir ketika ibu menahan sakit melahirkan kita, mendengar tangisan pertama kita, menjaga ketika kita diuji sakit dan terus berkhidmat hingga ke penghujung usia,” katanya.

Beliau berkata, hampir setiap individu pernah merasai sentuhan ihsan seorang jururawat, sama ada dalam menenangkan pesakit yang menahan kesakitan, memujuk kanak-kanak yang ketakutan atau memberi kekuatan kepada keluarga yang cemas.

Menurut Perdana Menteri, pengalaman, ketelitian dan dedikasi jururawat menjadi tonggak penting dalam membantu doktor memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

“Jururawat adalah kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa dan ketulusan hati yang luar biasa.

“Besarnya jasa mereka sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat besar nilainya buat rakyat dan negara,” katanya lagi.

Anwar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kejururawatan atas komitmen dan khidmat bakti yang dicurahkan.

“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia,” ucapnya.

Anda Mungkin Berminat