Besi Jatuh Hempap Kereta Di MRR2, Pemandu Terselamat

KUALA LUMPUR: Laluan sibuk di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Batu Caves gempar pagi tadi apabila sebuah kereta dihempap timbunan besi dari kawasan pembinaan berhampiran.

Insiden mengejutkan itu menyebabkan kereta berwarna kelabu rosak teruk di bahagian atas dan belakang, namun pemandunya dilaporkan terselamat tanpa kecederaan serius.

Menurut saksi, besi berkenaan jatuh secara tiba-tiba ketika kenderaan melalui kawasan tersebut.

Seorang penunggang motosikal yang berada berhampiran berkata, beliau melihat sendiri kereta itu dihimpap besi dan bersyukur kerana pemandu masih hidup.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan kereta remuk di tengah laluan, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan projek pembinaan besar yang dijalankan berhampiran lebuh raya utama.

Insiden itu dipercayai berkait dengan kerja-kerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang giat dijalankan di kawasan tersebut.

Pihak berkuasa dijangka menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah keselamatan dipertingkatkan, memandangkan MRR2 merupakan antara laluan paling sibuk di Lembah Klang.

Anda Mungkin Berminat