Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) menegaskan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang diterima sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan.
BHEEU juga mengesahkan tidak menerima makluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara tersebut.
“Sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BHEUU juga menjelaskan bahawa pihaknya tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88],” katanya.
Tambah BHEUU, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Lembaga Pengampunan wujud di semua peringkat negeri dan dipengerusikan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri.
Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Baca juga: