Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Tafsiran dan persoalan mengenai titah adendum hanya boleh dimuktamadkan oleh mahkamah, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Beliau menegaskan bahawa keputusan itu akan dibuat hakim susulan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mengesahkan dan menjawab kewujudan titah tambahan tersebut.
“Saya kira adendum ini yang terbaik ia perlu dibincang, dijawab dan diselesaikan melalui mahkamah.
“Biar mahkamah selesaikan memandangkan ada pelbagai tafsiran dan kita kena hormat keluhuran perlembagaan serta undang-undang.
“… jadi, mahkamah adalah medan terbaik untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Pada 6 Januari lalu, pasukan pembelaan Najib menyerahkan salinan titah adendum yang diambil daripada rekod peribadi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut diserahkan ialah sepucuk surat daripada Istana Pahang yang mengesahkan Al-Sultan Abdullah memperkenan tahanan rumah Najib ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 13 Januari ini untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Susulan itu, PAS menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melepaskan jawatan kerana didakwa telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara.
Mengulas mengenai perkara itu, Dr Awang Pawi menegaskan bahawa Anwar tidak mempunyai kaitan dengan titah adendum tersebut kerana beliau bukan ahli Lembaga Pengampunan.
“Beliau (Anwar) tidak mencampuri urusan mahkamah, apatah lagi isu adendum ini kerana ia melibatkan institusi diraja.
“Pembangkang hanya menggunakan isu titah adendum Najib ini sebagai modal politik dan rakyat perlu melihat perkara ini dengan lebih kritis, bukan dari segi emosi, biar mahkamah tentukan kebenarannya,” katanya lagi.
Baca juga: