PETALING JAYA: Pertubuhan BIDADARI MALAYSIA mengecam keras kenyataan seksis oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran yang menyamakan pemimpin wanita dengan ‘lembu betina dalam kawasan ternakan’.
Kenyataan tersebut, yang dimuat naik di Facebook, disifatkan sebagai menghina dan merendahkan martabat wanita serta mencerminkan pemikiran kolot yang boleh menghalang kemajuan masyarakat.
“Perbandingan ini jelas menunjukkan penghinaan terbuka terhadap wanita yang memimpin, seolah-olah mereka tiada nilai selain dijadikan bahan sindiran,” kata Pengasas BIDADARI MALAYSIA, Napsiah Khamis Maharan dalam satu kenyataan.
Beliau turut membidas budaya politik PAS yang kerap menggunakan analogi haiwan dalam membincangkan isu sensitif.
Sebelum ini, pemimpin parti itu pernah menggunakan perumpamaan seperti monyet, kambing dan biri-biri dalam konteks isu antarabangsa yang turut mencetuskan kritikan.
“Sekarang, wanita pula menjadi mangsa perumpamaan dangkal.
“Ini bukan hanya tidak beradab, malah membuktikan kejahilan terhadap sumbangan wanita dalam masyarakat,” katanya.
Napsiah berkata, wanita telah lama memainkan peranan penting sebagai pemimpin, pendidik, profesional dan aktivis masyarakat.
Oleh itu, beliau menggesa pimpinan tertinggi PAS agar mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit dan memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat.